Pulau Pinang, 23 Ogos -Ahli perniagaan
terkemuka Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin menyenaraikan sembilan
prinsip utama ekosfera perniagaan yang berjaya.
“Jangan menyesal terhadap setiap
keputusan yang dibuat dalam hidup kita dan yang terpenting ialah ingat
kepada sembilan prinsip mudah untuk kekal dalam perniagaan,” kata Ameer
Ali Mydin dalam Ucap Utama penerimaan Anugerah Tokoh Perniagaan atau
Business Person of the Year yang diberikan oleh Asian Academy of
Management (AAM) di sini.
Prinsip pertama ialah “percaya kepada diri sendiri dan dengar kata hati dan berfikir menggunakan akal fikiran.”
Kedua, seseorang itu perlu jujur kepada diri sendiri dan kepada mereka yang menjadi majikan kita.
“Apabila saya ingin membuka hypermarket
pertama Mydin di USJ Subang Jaya tidak ada bank yang ingin memberikan
pinjaman selain dari AmBank yang ketika itu dikenali sebagai
Arab-Malaysian Merchant Bank kerana menurut Tan Sri Azman Hashim, dia
mengingati saya sebagai seorang pekerja yang bekerja keras dan ikhlas,”
katanya.
Lebih 150 peserta dari dalam dan luar
negara yang hadir Persidangan Antarabangsa Akademi Pengurusan Asia 2013
atau Asian Academy of Management International Conference 2013 selama
dua hari yang bertemakan Fostering an Innovative Ecosphere for Business
Strategy yang dianjurkan bersama Pusat Pengajian Pengurusan dan Pusat
Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Sains Malaysia (USM).
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings
Bhd itu juga turut dianugerahkan Asian Academy of Management Life
Membership bersama-sama Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Sabbaruddin Chik,
Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Abd. Razak dan Ketua
Eksekutif SME Corporation Dato’ Hafsah Hashim.
Prinsip ketiga ialah sentiasa berfokus dan mempunyai matlamat dalam apa yang ingin dilakukan.
“Apabila melakukan perniagaan seseorang
itu perlu berfokus dan menetapkan matlamatnya, misalnya apabila saya
memulakan perniagaan pertama di jalan Mesjid India, Kuala Lumpur saya
mengawal setiap perbelanjaan dan melakukan semua tugas utama kerana
hanya dengan melalui sesuatu proses yang berlaku, kita akan menjadi
pengusaha yang serba boleh dan tidak boleh ditipu,” katanya.
Keempat, beliau menasihatkan para
peserta agar tidak mengejar wang dan kemasyhuran kerana ia akan datang
sendiri apabila kita berhak untuk mendapatnya serta ingat bahawa bekerja
keras tidak pernah merosakkan seseorang.
Kelima, perlu untuk menjaga pekerja dengan jiwa dan hati nurani kerana mereka akan menjaga pelanggan juga dengan hati nurani.
Keenam, katanya lagi, ialah tidak mudah berputus asa dan takut melakukan kesilapan dalam hidup.
Beliau turut menasihatkan para peserta
agar sentiasa berkongsi pengalaman, kepakaran dan minat dengan sesiapa
sahaja kerana hidup amat sunyi apabila bersendirian. Dengan cara itu
juga seseorang akan dapat berkembang maju dan banyak belajar sesuatu
melalui perkongsian yang dibuat.
Beliau turut menyeru agar seseorang itu jangan sama sekali melupakan asal usulnya.
“Jangan lupa asal usul, di mana kita dan
ibu bapa kita berasal serta sentiasa ingat warisan budaya yang ada
kerana itulah yang menjadikan kita dan membentuk perwatakan yang ada
kerana seseorang tanpa budaya adalah seseorang tiada wajah dan
perwatakannya,” tegas Ameer Ali Mydin.
Prinsip yang terakhir beliau ialah
“jangan lupakan ibu bapa, bagaimana mereka membesarkan kita dan
bagaimana mereka menghadapi segala cabaran sehingga kita mencapai
kejayaan pada hari ini.”
“Sesibuk mana pun kita, satu panggilan
telefon memadai untuk menyatakan kasih sayang dan perhatian kita, malah
berusahalah untuk menziarahi mereka kerana putaran hidup ini menunjukkan
bahawa di mana kita sekarang ini bermula dari kira-kira 30 tahun lalu
manakala 30 tahun yang akan datang sebenarnya bermula dari sekarang,
tentang bagaimana kita menunjukkan contoh tauladan kepada mereka yang
ada sekarang,” tegas beliau.
Hadir sama di majlis ini ialah Timbalan
Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) USM Profesor Dr. Adnan
Hussein yang mewakili Naib Canselor, Pengerusi Lembaga Pengarah Tien
Wah Press Holdings Berhad, YM Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel Tengku Arif,
Presiden AAM Profesor Madya Dr. Zamri Ahmad dan ahli-ahli Lembaga AAM
yang lain. Teks: Mohamad Abdullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan